:::.Sajian Hati.:::

:::.Manis Strawberi.:::

Jumaat, 28 Ogos 2015

Resipi Labu Masak Lemak Kuning

Labu Masak Lemak Kuning
Labu Masak Lemak Kuning
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Membuat Labu Masak Lemak Kuning :

1 biji labu
1 ikat pucuk labu
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 sudu makan cili kisar
Serbuk kunyit
1 biji santan kelapa
Garam secukup rasa


Cara Memasak Labu Masak Lemak Kuning :

1. Potong labu bentuk kiub dan rebus sekejap.

2. Pucuk labu disiangkan dahulu duri-durinya.

3. Panaskan santan dalam periuk, masukkan serbuk kunyit, cili kisar, bawang putih dan garam.

4. Kacau perlahan-lahan supaya santan tidak pecah minyak.

5. Kemudian boleh masukan labu tadi.

6. Apabila labu hampir lembut, bolehlah masukkan pucuknya di akhir sekali.

7. Kacaukan sekejap dan tutup api.

8. Sedia untuk dihidangkan.

Khamis, 27 Ogos 2015

Resipi Daging Bakar Cicah Air Asam

Daging Bakar Cicah Air Asam
Daging Bakar Cicah Air Asam
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Membuat Daging Bakar :

Setengah kg daging lembu
2 ulas bawag putih*
1 biji bawang besar*
1 inci halia*
1 sudu lada hitam*
Gula dan garam
Sedikit serbuk kunyit


Cara Memasak Daging Bakar :

1. Tumbuk kasar semua bahan bertanda* dan perap bersama daging selama 1 hingga ke 2 jam. Lagi lama perap lagi sedap rasanya.

2. Daging boleh potong besar-besar dan nanti lepas bakar baru potong nipis-nipis.

3. Kemudian boleh bakar daging dalam ketuhar atau guna pemanggang ajaib sehingga daging masak.

4. Jika bakar menggunakan pemanggang ajaib, gunakan api perlahan untuk memasak agar daging masak sempurna.

5. Akhir sekali daging bolehlah dipotong nipis-nipis.



Bahan Untuk Membuat Air Asam :

1 biji bawang besar
1 biji tomato
1 biji cili merah
5 tangkai cili padi (jika suka pedas boleh tambah lagi)
Sedikit belacan
Sedikit garam
Air asam jawa
Limau nipis


Cara Membuat Air Asam :

1. Potong halus semua bahan.

2. Kemudian bancuh belacan bersama air asam jawa.

3. Masukkan sedikit garam dan campur bersama semua bahan yang telah dihiris tadi.

4. Akhir sekali perah sedikit air limau nipis.

5. Siap dan hidang bersama daging bakar.

Rabu, 26 Ogos 2015

Resipi Sup Kepala Ikan Plotan

Sup Kepala Ikan Plotan
Sup Kepala Ikan Plotan
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Memasak Sup Kepala Ikan Plotan :

Kepala ikan plotan (potong dan cuci bersih)
2 sudu minyak masak
2 cawan air
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 inci halia (hiris kasar dan ketuk sedikit)
1 uncang sup bunjut adabi
1 sudu rempah perencah sup
1 sudu lada hitam (ditumbuk halus)
1 sudu serbuk cukup rasa maggi
3 biji cili padi merah (diketuk)
Sedikit bawang goreng
1 biji tomato (potong 4)
Gula dan garam secukup rasa
Daun sup dan daun bawang


Cara Memasak Sup Kepala Ikan Plotan :

1. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bawang putih dan halia.

2. Tumis sampai naik bau dan bawang bertukar warna kekuningan.

3. Masukkan 2 cawan air, sup bunjut dan rempah sup.

4. Tutup periuk dan biar kuah merenih seketika anggaran 5 minit.

5. Masukkan kepala ikan, lada hitam, cili padi, serbuk cukup rasa maggi, gula dan garam.

6. Masak sehingga kepala ikan betul-betul lembut dan masak.

7. Akhir sekali taburkan bawang goreng, daun bawang, daun sup dan buah tomato.

8. Siap dan sedia untuk dihidang.

Selasa, 25 Ogos 2015

Resipi Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi dengan Ubi Keladi

Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi dengan Ubi Keladi
Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi dengan Ubi Keladi
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Memasak Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi :

1 kg siput sedut (cuci bersih, direbus sekejap dan dipotong sedikit bahagian depannya)
1 batang ubi keladi (disiang dan direbus)
2 ulas bawang merah*
2 ulas bawng putih*
2 biji cili merah*
5 biji cili padi*
1 inci kunyit hidup*
1 inci halia*
2 batang serai
2 helai daun kunyit
1 biji santan kelapa (bahagi 2 bahagian iaitu santan pekat dan cair)
Gula dan garam secukup rasa


Cara Memasak Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi :

1. Kisar semua bahan bertanda* dan masukkan dalam periuk.

2. Masukkan sedikit santan cair, serai yang diketuk dan daun kunyit yang disimpul.

3. Masak sekejap hingga kuah mendidih.

4. Kemudian boleh masukkan siput sedut dan ubi keladi tadi berserta santan pekat.

5. Seimbangkan rasa dengan gula dan garam.

6. Kacaukan sekejap sehingga siput dan ubi keladi masak dan bolehlah dihidangkan.

Isnin, 24 Ogos 2015

Resipi Daging Black Paper

Daging Black Paper
Daging Black Paper
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Memasak Daging Black Paper :

Setengah kg daging (potong nipis)
3 sudu minyak masak
1 cawan air
3 ulas bawang putih (dicincang kasar)
1 inci halia (tumbuk halus)
2 sudu lada hitam (tumbuk kasar)
2 sudu sos tiram
2 sudu sos cili
2 sudu santan pekat
1 sudu serbuk cukup rasa maggi
Sedikit gula


Untuk Hiasan :

Cili merah
Cili padi
Bawang besar
Daun bawang


Cara Memasak Daging Black Paper :

1. Panaskan minyak masak dalam kuali, masukkan bawang putih dan halia. Gorengkan sekejap.

2. Kemudian boleh masukkan daging, air dan lada hitam. Tutup kuali dan biarkan daging masak dan kuah menjadi kering.

3. Apabila daging mulai lembut bolehlah masukkan sos tiram, sos cili, santan, serbuk cukup rasa maggi dan gula.

4. Boleh juga tambah sedikit garam jika perlu kerana sos tiram dan serbuk cukup rasa maggi sudah ada rasa masin.

5. Akhir sekali bolehlah masukkan bahan hiasan seperti cili merah, cili padi, bawang besar dan daun bawang.

6. Siap untuk dihidangkan. Makan bersama nasi panas, memang sedap...

Sabtu, 22 Ogos 2015

Resipi Jelatah

Jelatah
Jelatah
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Membuat Jelatah :

1 biji timun
Setengah biji nanas
1 biji bawang besar
1 biji cili merah
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar gula
Sedikit garam


Langkah Menyediakan Jelatah :

1. Kupas dan hiris nipis semua bahan.

2. Kemudian boleh masukkan sos cili, gula dan sedikit garam.

3. Gaul rata dan boleh dihidangkan.

Resipi Ayam Masak Merah

Ayam Masak Merah
Ayam Masak Merah
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Memasak Ayam Masak Merah :

1 ekor ayam (potong ikut suka)
10 tangkai cili kering*
2 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4-6 tangkai bunga cengkih
Buah pelaga
2 sudu besar sos cili
4 sudu besar sos tomato puri
1 cawan susu cair
Sedikit air
Gula dan garam secukup rasa


Bahan Hiasan :

Lobak merah
Cili merah
Cili padi
Daun sup
1 biji bawang besar (potong bulat-bulat)


Cara Memasak Ayam Masak Merah :

1. Cuci bersih ayam, lumurkan garam dan kunyit dan goreng seperti biasa hingga masak kekuningan. Angkat ayam dan ketepikan.

2. Guna minyak gorengan ayam tadi, tumiskan bahan 4 sekawan dan bahan kisar hingga terbit bau.

3. Kemudian boleh masuk cili kisar, sos cili dan sos tomato. Tambah sedikit air jika kuah agak pekat.

4. Kemudian boleh masuk susu cair dan ayam.

5. Perasakan kuah dengan gula dan garam secukup rasa.

6. Akhir sekali boleh masukkan bahan hiasan iaitu lobak merah, cili, daun sup dan bawang besar.

7. Siap untuk dihidang dan mengambil masa lebih kurang sejam untuk disediakan.

Jumaat, 21 Ogos 2015

Homemade Aiskrim Strawberi

Aiskrim Strawberi

Bahan-bahan :

1 tin susu cair
¼ tin susu pekat
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu besar ovalett
Strawberi emulco


Cara Membuatnya :

1. Guna mixer dan masukkan susu cair, susu pekat, esen vanila dan ovalett.

2. Pukul selama 30 minit untuk mendapatkan tekstur yang pekat dan likat seperti ala-ala krim.

3. Masukkan strawberi emulco secukupnya.

4. Tuangkan dalam bekas dan keraskan dalam peti ais.

5. Sedia untuk dinikmati.

Resipi Nasi Tomato

Nasi Tomato
Nasi Tomato
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Memasak Nasi Tomato :

4 cawan beras biasa
2 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4-6 tangkai bunga cengkih
Buah pelaga
2 helai daun pandan
1 cawan susu cair
3 sudu minyak sapi
4 sudu besar sos tomato puri
Gula dan garam secukup rasa


Bahan Hiasan :

Lobak merah
Mix vage
Daun sup dan daun bawang
Kismis
Gajus
Bawang goreng


Cara Memasak Nasi Tomato :

1. Basuh beras sehingga bersih dan masukkan ke dalam rice cooker.

2. Dalam periuk lain, panaskan minyak sapi dan masukkan bahan bertanda * yang telah dikisar.

3. Masuk sekali rempah 4 sekawan iaitu kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga. Masak hingga naik bau.

4. Kemudian boleh masukkan daun pandan dan tomato puri.

5. Seterusnya masukkan air dan susu cair. Sukatan air adalah untuk 4 cawan beras.

6. 4 cawan beras = 4 cawan air + 1 cawan susu cair. Sukatan ikut cara kita masak nasi biasa. Kemudian kacau hingga mendidih dan perasakan dengan gula dan sedikit garam.

7. Kacaukan sekejap kemudian boleh masuk bahan hiasan seperti lobak merah dan mix vage. Terpulang nak letak apa contohnya kismis, gajus dan sebagainya.

8. Akhir sekali boleh masukkan kuah tadi dalam rice cooker dan masak seperti nasi  biasa.

9. Bila hendak hidang nasi boleh taburkan daun sup dan bawang goreng.


Nota : Masa tengah masak nasi, beras jangan dikacau kerap untuk mengelakkan nasi hancur.

Sabtu, 15 Ogos 2015

Resipi Udang Galah Masak Lemak Cili Padi

Udang Galah Masak Lemak Cili Padi

Udang Galah Masak Lemak Cili Padi
Oleh : Salina Ismail



Bahan Untuk Memasak Udang Galah Masak Lemak Cili Padi :

Udang Galah (dibersihkan)
1 biji santan kelapa
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup*
5 biji cili padi*
2 batang serai (diketuk)
1 helai daun kunyit
Gula dan garam secukup rasa


Cara Memasak Udang Galah Masak Lemak Cili Padi :

1. Kisar semua bahan yang bertanda * hingga lumat.

2. Masukkan bahan yang dikisar dalam periuk atau kuali.

3. Buka api dan masak sehingga naik bau.

4. Kemudian boleh masukkan santan, serai, daun kunyit, gula dan garam.

5. Masak dengan api sederhana dan sentiasa dikacau agar santan tidak pecah minyak.

6. Apabila santan sudah mendidih boleh masukkan udang yang telah dibersihkan.

7. Masak sehingga udang lembut atau masak sepenuhnya.

8. Sedia untuk dihidang dan selamat menjamu selera.

Jumaat, 14 Ogos 2015

Resipi Nasi Goreng Udang

Nasi Goreng Udang
Nasi Goreng Udang
Oleh : Salina Ismail



Bahan Untuk Membuat Nasi Goreng Udang :

4 ekor udang besar (dicuci bersih, perap sekejap dengan sedikit serbuk cukup rasa maggi)
3 ekor sotong (potong bulat, rendam dalam air panas sekejap dan toskan)
2 cawan nasi putih (dihancurkan)
4 sudu minyak masak
2 biji telur ayam
2 ulas bawang putih (diketuk)
3 biji cili padi (diketuk)
Sayur sawi, kobis dan lobak merah
1 sudu cili kisar
1 sudu kicap manis
2 sudu sos tiram
1 sudu serbuk cukup rasa maggi


Cara Memasak Nasi Goreng Udang :

1. Panaskan minyak dalam kuali, pecah 2 biji telur dan kacau-kacau hingga telur masak hancur. Kemudian angkat telur dan ketepikan.

2. Guna minyak yang sama, goreng udang hingga masak, angkat dan ketepikan.

3. Dalam kuali yang sama juga, masukkan bawang putih yang diketuk.

4. Goreng hingga naik bau dan masukkan sotong, batang sawi, cili padi dan lobak merah. Kacaukan sekejap.

5. Kemudian boleh masukkan cili kisar dan kacaukan sekejap.

6. Seterusnya masukkan kicap dan sos tiram, gorengkannya sebentar.

7. Akhir sekali, boleh masukkan nasi sejuk, sayur sawi, kobis, serbuk cukup rasa maggi dan telur yang sudah digoreng tadi.

8. Kacaukan atau goreng sehingga nasi sebati dan betul-betul masak.

9. Apabila nasi sudah masak, boleh hidangkan dalam pinggan dan susun udang yang digoreng tadi.


Nota : Nasi goreng sedap dimakan ketika masih panas :)

Rabu, 12 Ogos 2015

Resipi Udang Goreng Kunyit

Udang Goreng Kunyit
Udang Goreng Kunyit
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Memasak Udang Goreng Kunyit :

Setengah kg udang besar (dibersihkan)
4 sudu makan minyak masak
2 ulas bawang putih (dihiris nipis)
2 ulas bawang merah kecil (dihiris)
Sedikit serbuk kunyit
Sedikit gula dan garam
1 sudu kicap manis
2 sudu sos cili
4 biji cili padi (ketuk/belah dua)
1 labu bawang besar (hiris bulat)
Cili merah/hijau (potong serong)
Sedikit air (jika perlu)


Cara Memasak Udang Goreng Kunyit :

1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan udang, serbuk kunyit, bawang putih dan bawang merah.

2. Gorengkan sekejap hingga udang hampir masak.

3. Kemudian, masukkan gula dan garam secukup rasa. Kacau lagi.

4. Seterusnya boleh masukkan kicap dan sos cili. Goreng seketika.

5. Akhir sekali masukkan cili padi, cili hijau @ merah dan bawang besar.

6. Kacau atau masak hingga sebati dan sedia dihidangkan.

Resipi Kerang Masak Lemak Kuning

Kerang Masak Lemak Kuning

Kerang Masak Lemak Kuning
Oleh : Salina Ismail



Bahan Untuk Membuat Kerang Masak Lemak Kuning :

1 kg kerang (cuci bersih)
1 biji santan kelapa
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup*
5 biji cili padi*
2 batang serai (diketuk)
1 helai daun kunyit
Gula dan garam secukup rasa



Cara Memasak Kerang Masak Lemak Kuning :

1. Kisar semua bahan yang bertanda * hingga lumat.

2. Masukkan dalam periuk atau kuali. Lebih mudah menggunakan kuali kerana senang untuk dikacau.

3. Buka api, masak bahan yang dikisar hingga naik bau.

4. Kemudian boleh masukkan santan, serai, daun kunyit, gula dan garam.

5. Kuah kena sentiasa dikacau supaya santan tidak pecah minyak dan masak dengan api sederhana.

6. Apabila santan sudah mendidih boleh masukkan kerang yang telah dibersihkan.

7. Masak dengan lama sedikit anggaran masa selama 15 minit agar kulit kerang mudah terbuka dan senang untuk dikopek nanti.

8. Sedia untuk dihidang dan selamat menjamu selera :)

Isnin, 10 Ogos 2015

Resipi Laksa Utara

Laksa Utara
Laksa Utara
Oleh : Salina Ismail

Bahan Membuat Laksa Utara


Bahan Untuk Membuat Laksa Utara :

1 kg ikan sardin
1 bungkus laksa kering
15 keping asam gelugur
20 tangkai cili kering
2 biji bawang besar
Belacan (saiz besar ibu jari)
1 genggam daun kesum
4 kuntum bunga kantan
Garam dan serbuk perasa


Bahan-bahan Hiasan :

Timun*
Daun salad*
Bawang besar*
Cili padi*
Cili merah*
Limau kerisik
Telur rebus
Petis udang/otak udang
Semua bahan bertanda * dihiris nipis


Cara Memasak Laksa Utara :

1. Laksa kering perlu direndam terlebih dahulu lebih kurang 3 hingga 4 jam.

2. Kemudian direbus sampai lembut dan ditoskan airnya. Boleh juga rebus dalam rice cooker kerana senang dan cepat masak.

3. Siram dengan air semasa proses mengtoskan laksa agar dapat membuang kanji-kanji yang berlebihan.

4. Bersihkan ikan, kemudian rebus ikan bersama asam gelugur hingga ikan masak.

5. Kemudian asingkan isi dan tulang ikan. Isi ikan perlu dikisar tapi jangan terlalu lumat. Tulang ikan juga dikisar dan kemudian ditapis.

6. Guna air rebusan ikan tadi bersama asam gelugur, masuk isi ikan dan air tulang ikan di dalam periuk.

7. Kisar cili kering bersama belacan dan bawang besar, masukkan sekali dalam kuah.

8. Kisar juga 2 kuntum bunga kantan untuk dapatkan bau kuah yang sedap.

9. Masukkan juga daun kesum dan belah 2 kuntum lagi bunga kantan.

10. Masukkan air secukupnya untuk sebatikan kuah.

11. Akhir sekali boleh masuk garam dan serbuk perasa.

12. Tunggu sehingga kuah mendidih dan betul-betul masak, rasa garam dan masam kuahnya.

13. Kalau suka masam boleh tambahkan sedikit perahan air asam jawa.

14. Siap dan boleh dihidangkan bersama bahan-bahan hirisan tadi.

Ahad, 9 Ogos 2015

Resipi Udang Galah Goreng Pedas

Udang Galah Goreng Pedas
Udang Galah Goreng Pedas
Oleh : Salina Ismail


Bahan Untuk Membuat Udang Galah Goreng Pedas :

2 ekor udang galah saiz besar
Minyak masak
Garam
Serbuk kunyit
2 ulas bawang putih (diketuk)
2 sudu cili kisar
2 sudu sos cili
2 sudu sos tomato
1 sudu serbuk cukup rasa maggi
Sedikit gula
Sedikit air


Cara Memasak Udang Galah Goreng Pedas :

1. Udang galah dibersihkan dan digaul dengan sedikit garam dan kunyit, kemudian di goreng terlebih dahulu sehingga udang masak.

2. Dalam kuali lain, ambil 3 sudu makan minyak gorengan udang tadi, tumis bawang putih hingga terbit bau.

3. Kemudian boleh masuk cili kisar, lebih kurang 5 minit boleh masukkan sos cili, sos tomato, gula, garam dan serbuk cukup rasa maggi.

4. Kacaukan sekejap dan boleh masuk sedikit air.

5. Seimbangkan rasa dan boleh masukkan udang goreng tadi.

6. Siap dan sedia untuk dihidang.